Respon kepada kenyataan Dato' Seri Najib Razak

5HB JANUARI 2019

Sebelum ini, kerajaan Barisan Nasional dibawah naungan YB Dato' Seri Najib Tun Razak (DSNR) pernah membuat kajian mengenai industri peruncitan petroleum bahawa ramai golongan pengusaha stesen minyak layak menerima BR1M kerana rata-rata pendapatan mereka adalah kurang daripada RM4,000 sebulan.


Berdasarkan data kami, hanya 10% daripada pengusaha seluruh Malaysia tergolong dalam kategori jualan tinggi, iaitu melebihi 600,000 liter sebulan. Manakala 67% berada dalam kategori jualan rendah hingga ke pertengahan (Jualan di bawah 400,000 liter sebulan), dan ini termasuk 20% di bawah 200,000 liter sebulan. Bagi yang menjual di bawah 200,000 liter sebulan pula pendapatan bersih adalah kurang daripada RM1,500 sebulan.


Kos seperti penggajian, utiliti, caj kad kredit, sewa kepada syarikat minyak yang semakin tinggi menyebabkan ramai yang beroperasi dalam kerugian.


Dalam kenyataan DSNR yang terbaru ini kenaikan 2.81 sen seliter untuk komisen ini dikirakan mengikut jumlah bulat keluaran depot tahunan; seperti memberi ilusi bahawa pengusaha mendapat sebanyak RM30 juta setiap bulan. Jika dibahagikan kepada 3,500 stesen di seluruh negara purata kenaikan pendapatan kasar adalah RM8,500 sebulan setiap stesen; walhal kenaikan kos yang ditanggung pengusaha selama 10 tahun yang lalu telah melebihi RM10,000 sebulan.


Untuk pengusaha yang jualan mereka rendah (200,000 liter ke bawah), penambahan pendapatan kasar ini adalah kurang daripada RM6,000 sebulan, dan hanya sekadar digunakan untuk mengurangkan kerugian atau menjana keuntungan yang minima. Sejak 10 tahun lalu, di bawah pemerintahan kerajaan sebelum ini, telah banyak kali kami memohon untuk meneliti nilai komisen ini dan banyak persetujuan yang tidak ditunaikan sehingga mengakibatkan industri ini semakin parah. Kerajaan yang ada sekarang sekurang-kurangnya memahami situasi dan cuba memperbetulkan keadaan. Jika industri ini dipaksa menghadapi kerugian, rangkaian bekalan tenaga petroleum akan terganggu dan seterusnya akan mencalarkan ekonomi negara.


Di serata dunia, kenaikan komisen selalunya selaras dengan polisi kerajaan atau kenaikan kos seperti penggajian atau utiliti. Sebagai contoh:- India telah menaikkan komisen pengusaha sebanyak 55% pada tahun 2017 kerana kenaikan penggajian. Kenaikan ini wajib dilakukan seperti di Malaysia untuk menangani isu kos operasi. (https://economictimes.indiatimes.com/industry/energy/oil-gas/petrol-pump-dealers-commissions-hiked-by-up-to-60/articleshow/59863941.cms)


Walaupun pernah membuat kajian dan mengakui perlunya ada kenaikan komisen dulu, DSNR tidak melaksanakan sebelum PRU14 kerana risau untuk menghadapi pilihanraya dengan populariti yang kian terhakis. Oleh itu, kerajaan Barisan Nasional sebelum PRU14 telah berjanji kepada pengusaha untuk menaikkan komisen selepas pilihanraya. Sementara itu, ramai pengusaha telah gulung tikar, ramai pekerja hilang pendapatan, dan lebih ramai keluarga pekerja menjadi mangsa semasa di dalam pentadbiran DSNR kerana tidak bertindak untuk memperbetulkan apa yang sepatutnya dibuat. Dalam sejarah kerajaan Barisan Nasional sebelum DSNR tidak pernah menangguh kenaikan komisen melebihi 10 tahun, yang paling lama adalah selama 8 tahun antara 1994 ke 2002.

Carta A : Sejarah Kenaikan Komisyen Pengusaha

Oleh kerana stesen minyak berada di setiap pelusuk negara, ia bermakna pekerjaan yang diberi oleh kami secara langsung atau tidak, dapat membantu memberikan pendapatan kepada 32,000 rakyat tempatan atau 128,000 ahli keluarga mereka di seluruh negara. Apabila DSNR tidak bertindak menyelamatkan industri maka 150 pengusaha stesen minyak telah gulung tikar dan mengakibatkan sebanyak 1,500 ke 2,250 pekerja hilang sumber pendapatan dan ianya sudah tentu memberi kesan kepada ahli keluarga mereka.


Semasa DSNR memegang jawatan Menteri Kewangan 1, Kos Operasi di bawah Automatic Pricing Mechanism (Carta B di bawah) telah di naikkan untuk syarikat minyak daripada 8.13 sen seliter di Sarawak dan 8.98 sen seliter di Sabah kepada 9.54 sen seliter pada tahun 2017. Ini adalah peningkatan untuk syarikat minyak berdasarkan kajian di buat ke atas kenaikan kos operasi syarikat minyak yang terbukti mengikut Laporan Audit syarikat yang menjana keuntungan besar berbanding pengusaha-pengusaha stesen. Kenapa tidak juga memberi tumpuan kepada kami sebagai peruncit kecil yang jauh lebih sensitif kepada peningkatan kos?


Carta B

Carta B - Komponen Automatic Pricing Mechanism

Sebenarnya, kajian komponen APM perlu dilakukan secara tahunan berlandaskan kajian menyeluruh dan mengambil kira segala kenaikan kos yang berlaku sepanjang tahun. Kajian tahunan ini telah pun dipraktikkan di negara-negara lain seperti Afrika Selatan yang mana syarikat minyak terbesar Engen adalah anak syarikat Petronas Dagangan Berhad sendiri. Perubahan komponen APM perlu diketahui umum dan tidak boleh dianggap remeh atau dijadikan isu politik. Kelangsungan industri ini memberi impak kepada kelangsungan ekonomi juga.


Semua kenaikan sebelum ini adalah berdasarkan kajian yang menyeluruh dan harga pam yang diletak adalah berpatutan untuk rakyat. Semua kenaikan seperti Carta A di atas, adalah berlandaskan keperluan untuk memastikan senario pembekalan komoditi penting iaitu minyak tidak putus kepada seluruh pelusuk negara.


Pihak PDAM amat berterima kasih kepada kerajaan Pakatan Harapan yang telah mengambil kira semua pihak untuk mencapai keputusan untuk menurunkan harga minyak di pam berserta kenaikan komisen kami untuk alas impak perubahan harga dan kenaikan kos.


Ini adalah keputusan yang memberi kemenangan kepada semua pihak. Rakyat mendapat harga yang lebih rendah, pengusaha mengalas impak dan kerajaan mendapat populariti dan sokongan atas keseimbangan ini. Ini adalah langkah yang berani, dan kami hormati. Rakyat sememangnya berhak mengetahui komponen APM melalui pengumuman khas ini dan diharapkan DSNR dan mana-mana pihak tidak menggunakan isu ini sebagai alat dan isu politik untuk kepentingan masing-masing.


Petrol Dealers' Association of Malaysia