Rayuan & Petisyen kepada Kerajaan agar Menyelamatkan Pengusaha Stesen Minyak Seluruh Malaysia dari Gulung Tikar (Telah di tutup)

Kami pengusaha stesen minyak sedang berada dalam keadaan kritikal. Dianggarkan hampir 55% daripada semua pengusaha stesen minyak seluruh negara termasuk dalam kategori penjualan rendah. Ada di kalangan ini telah menyerahkan kembali stesen disebabkan tidak mampu bertahan lagi. Ramai lagi yang dalam kategori penjualan rendah ini dalam keadaan kritikal dan merayu kepada Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan.

Antara sebab utama ini berlaku adalah kerana kadar komisen kami yang tetap walhal kos operasi naik mendadak:

1. Peraturan Gaji Minimum yang dikuatkuasakan untuk kali kedua.

2. Tarif elektrik yang naik.

3. Peningkatan penggunaan kad kredit pada kadar 20% (Anggaran konservatif) telah menaikkan kadar bayaran MDR daripada RM1.5k ke RM5k bergantung jumlah penjualan minyak.

4. Kenaikan Operating License Fee apabila menandatangani perjanjian baru, peningkatan pembayaran sekitar RM1.5k ke RM15k sebulan bergantung jumlah penjualan minyak.

5. Kerugian nyata akibat trend penurunan harga pam pada sekitar tahun 2015 mengakibatkan kerugian setiap stesen di anggarkan sekitar RM30k atau lebih.

Kami tidak berkuasa untuk menentukan harga jualan mahupun jumlah stok. Harga di pam dan komisen kami ditentukan oleh kerajaan. Stok kami pula ditentukan oleh syarikat minyak.

Oleh itu kami yang terdiri dari 3200 pengusaha stesen minyak seluruh negara dan kira-kira 50,000 pekerja yang bergantung kepada kejayaan kami, merayu agar:

1. Menyemak semula kadar komisyen kami seperti berikut

a. RON95 - 15 sen seliter

b. RON97 - 15 sen seliter

c. Diesel - 15 sen seliter

2. Memastikan definisi dan penguatkuasaan penuh "Full Self Service" tanpa memerlukan sebarang staff di kawasan pam (Forecourt), terutama bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, serta menangani kenaikan kos akibat kenaikan gaji (gaji minimum).

3. Selaras dengan perbincangan bersama KPDNKK, kami meminta kemasukan Industri Peruncitan Petroleum di bawah Akta Franchise Malaysia bagi memastikan sebarang penukaran Operating License Fee dan apa jua penukaran terma dan syarat dalam perjanjian kami dengan Syarikat Pembekal Minyak perlu dipersetujui oleh pihak kerajaan (KPDNKK) supaya tidak berat sebelah dan sebaliknya sentiasa win-win. Ini dapat menjamin kepentingan semua pihak di ambil kira dan dikawal selia secara adil

4. Menubuhkan sebuah jawatankuasa kerja (Petroleum Retail Industry Council) terdiri daripada wakil syarikat pembekal minyak, wakil persatuan stesen minyak dan pihak kerajaan sendiri, dipengerusikan oleh KPDNKK. Ini bagi memastikan dialog yang sihat diadakan setiap tahun membincangkan isu polisi, komisyen dan halatuju industri terutama bagi persediaan menghadapi masa depan yang tidak menentu diakibatkan oleh saingan daripada sumber bahan api alternatif dan deregulasi.